Mahkamah Perusahaan Malaysia adalah sebuah tribunal yang ditubuhkan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (‘APP 1967’) dan fungsinya adalah untuk menyelesaikan kes-kes pertikaian antara pekerja dan majikan.
Sebelum Mahkamah Perusahaan mendengar sesuatu kes, terdapat beberapa langkah-langkah awal yang perlu dilaksanakan. Artikel ini akan membincangkan langkah-langkah tersebut serta proses perbicaraan di Mahkamah Perusahaan.
Secara umumnya, majikan tidak boleh membuang atau memberhentikan pekerja sesuka hati tanpa alasan atau sebab yang munasabah. Lihat Seksyen 20(1) APP 1967.
Antara sebab-sebab yang membolehkan majikan membuang atau memberhentikan pekerja termasuk tetapi tidak terhad kepada prestasi lemah, salah laku dan lebihan tenaga kerja (‘redundancy’).
Jika anda telah dibuang atau diberhentikan kerja tanpa alasan atau sebab yang munasabah, anda berhak membuat suatu tuntutan di Mahkamah Perusahaan mengikut langkah-langkah berikut.
Sila ambil perhatian bahawa prosedur-prosedur di Mahkamah Perusahaan telah dikemas kini oleh Akta Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2020 yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2021.
Langkah Pertama: Pemfailan Representasi kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan Malaysia
Seksyen 8 APP 1967 memperuntukkan bahawa aduan mengenai pelanggaran Seksyen 4, 5 atau 7 APP 1967 boleh dibuat secara bertulis kepada Ketua Pengarah dan Ketua Pengarah diwajibkan mengambil tindakan.
Seksyen 4 memperuntukkan hak untuk membentuk dan membantu penubuhan kesatuan dan/atau menyertai kesatuan dan/atau aktiviti kesatuan.
Seksyen 5 melarang terma dan syarat dalam kontrak pekerjaan yang menghalang pekerja daripada menyertai kesatuan sekerja.
Seksyen 7 melarang gangguan, ugutan atau dorongan ke atas pekerja untuk menyertai atau menghalang mereka daripada menyertai kesatuan sekerja.
Seksyen 20 APP 1967 pula memberi laluan kepada seseorang pekerja atau ahli kesatuan sekerja yang telah dipecat tanpa alasan atau sebab yang munasabah oleh majikannya untuk membuat aduan secara bertulis kepada Ketua Pengarah supaya pekerja dapat diambil bekerja semula. Representasi tersebut perlu difailkan dalam masa 60 hari dari tarikh pembuangan kerja atau tarikh akhir kerja, yang mana yang lebih lewat.
Pekerja boleh membuat aduan sedemikian kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) yang terdekat. Sebagai contoh, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Perhubungan Perusahaan KL terletak di Tingkat 8, Menara PERKESO, 281, Jalan Ampang, 50536 Kuala Lumpur.
Di JPP, pekerja akan diberikan Borang P1 secara percuma iaitu Representasi Di Bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 untuk diisikan. Pekerja dikehendaki menyediakan 3 salinan Borang P1 dan 3 salinan dokumen-dokumen sokongan seperti salinan kad pengenalan, kontrak pekerjaan dan surat berhenti kerja (jika ada).
Langkah 2A: Aduan di bawah Seksyen 8
Setelah Ketua Pengarah menerima aduan di bawah Seksyen 8, Ketua Pengarah boleh mengambil tindakan atau membuat pertanyaan sebagaimana yang perlu atau suai manfaat untuk menyelesaikan aduan tersebut.
Sekiranya aduan tersebut tidak diselesaikan, Ketua Pengarah boleh merujuk aduan kepada Mahkamah Perusahaan untuk perbicaraan mengikut peruntukan APP 1967 dan menurunkan Award sewajarnya. Sila lihat Langkah 3 dan langkah-langkah seterusnya.
Langkah 2B: Representasi di bawah Seksyen 20
Bagi representasi di bawah Seksyen 20 iaitu aduan daripada pekerja bahawa dia telah dibuang tanpa alasan atau sebab yang munasabah, Ketua Pengarah akan mengambil langkah-langkah yang wajar dan sesuai untuk menyelesaikan pertikaian tersebut.
Langkah-langkah yang wajar dan sesuai ini selalunya melibatkan rundingan damai antara pekerja, majikan dan pegawai perunding untuk mencapai penyelesaian secara berharmoni.
Dalam setiap rundingan damai, majikan boleh:
- mewakili diri sendiri atau wakilnya yang diberikan kuasa; atau
- diwakili oleh seseorang pegawai atau pekerja daripada kesatuan sekerja majikan-majikan sekiranya majikan merupakan ahli kesatuan sekerja majikan tersebut; atau
- diwakili oleh seseorang pegawai rasmi daripada organisasi majikan yang didaftar di Malaysia (yang bukan kesatuan sekerja majikan); atau
- diwakili oleh orang-orang lain kecuali peguamcara dan peguambela yang diberi kuasa secara bertulis oleh majikan dan dengan keizinan Ketua Pengarah.
Seseorang pekerja pula boleh:
- mewakili diri sendiri; atau
- diwakili oleh seseorang pegawai atau pekerja daripada kesatuan sekerja sekiranya dia merupakan ahli kesatuan sekerja tersebut; atau
- diwakili oleh seseorang pegawai rasmi daripada organisasi pekerja yang didaftar di Malaysia (yang bukan kesatuan sekerja); atau
- diwakili oleh mana-mana pihak kecuali peguamcara dan peguambela yang diberi kuasa secara bertulis oleh pekerja tersebut dan dengan keizinan Ketua Pengarah.
Pekerja dan majikan tidak boleh diwakili oleh seseorang peguamcara dan peguambela sewaktu rundingan damai dijalankan.
Jika pekerja dan majikan berjaya menyelesaikan pertikaian mereka pada tahap rundingan damai, pihak-pihak akan menandatangani Memorandum Perjanjian yang mengandungi terma-terma yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan Pengerusi Mahkamah Perusahaan akan menurunkan Award sedemikian.
Langkah 3: Rujukan kepada Mahkamah Perusahaan
Apabila rundingan damai gagal menyelesaikan pertikaian antara pekerja dan majikan dan Ketua Pengarah berpendapat bahawa pertikaian tersebut tidak dapat diselesaikan, Ketua Pengarah akan merujukkan pertikaian tersebut kepada Mahkamah Perusahaan untuk perbicaraan dan penurunan Award.
Sebelum ini, Ketua Pengarah akan merujuk representasi kepada Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia untuk menapis dan menentukan representasi sama ada wajar atau tidak wajar untuk dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan. Namun, langkah ini telah dimansuhkan oleh Akta Perhubungan Perusahaan (Pindaan) 2020.
Carta Alir yang disediakan oleh Mahkamah Perusahaan Malaysia.
Kini, rujukan representasi akan dilakukan oleh Ketua Pengarah dan bukannya Yang Berhormat Menteri Sumber Manusia oleh sebab pemindaan Akta Perhubungan Perusahaan pada tahun 2020.
Langkah 4: Pendaftaran kes di Mahkamah Perusahaan Malaysia
Setelah rujukan Ketua Pengarah dikemukakan di Mahkamah, kes akan didaftarkan dan Borang F akan diserahkan kepada Pihak Yang Menuntut dan Pihak Syarikat. Lihat Kaedah-kaedah Mahkamah Perusahaan 1967.
Fungsi borang tersebut adalah untuk memaklumkan Pihak Yang Menuntut dan Pihak Syarikat untuk hadir di Mahkamah bagi tujuan menerima arahan mengenai pemfailan pliding, pertukaran dokumen, tarikh perbicaraan dan arahan bagi persidangan sebelum perbicaraan.
Langkah 5: Perwakilan di Mahkamah Perusahaan
Pada setakat ini, Pihak Yang Menuntut dan Pihak Syarikat boleh mewakili diri sendiri, memohon supaya kesatuan sekerja untuk mewakili mereka ataupun melantik seseorang pengamal undang-undang.
Pihak Yang Menuntut atau Pihak Syarikat yang ingin diwakili oleh pengamal undang-undang perlu mengisi Borang A (Permohonan untuk Kebenaran Diwakili oleh Pengamal Undang-Undang) dan Borang B (Waran Kuasa).
Sekiranya mana-mana pihak ingin diwakili oleh kesatuan sekerja mereka misalnya, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (‘MTUC’) atau Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (‘MEF’), hanya Borang B perlu diisikan.
Oleh sebab prosiding di Mahkamah akan melibatkan teknikaliti undang-undang dan titik-titik undang-undang, kami menasihati pihak-pihak untuk melantik seseorang peguam kerana peguam-peguam mempunyai kemahiran melaksanakan proses pemeriksaan saksi-saksi.
Langkah 6: Pengurusan Kes Sebelum Perbicaraan
Selepas sebutan kes pertama, Mahkamah akan menetapkan beberapa pengurusan kes untuk memastikan pihak-pihak telah menyediakan semua dokumen yang relevan sebelum perbicaraan bermula.
Perlu diingatkan bahawa perbicaraan di bawah APP 1967 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah Perusahaan merupakan perbicaraan biasa di mana saksi-saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan mereka diikuti dengan proses pemeriksaan saksi.
Dokumen-dokumen yang perlu difailkan sebelum perbicaraan termasuk tetapi tidak terhad kepada:
- Pernyataan Kes;
- Pernyataan Jawapan;
- Jawapan kepada Pernyataan Jawapan;
- Ikatan Dokumen Pihak Yang Menuntut;
- Ikatan Dokumen Pihak Syarikat; dan
- Penyata Saksi.
Setelah pihak-pihak telah memfailkan dokumen-dokumen yang diperlukan, Mahkamah akan mengeluarkan Borang G untuk menetapkan tarikh perbicaraan.
Langkah 7: Perbicaraan kes
Pada tarikh perbicaraan, pihak-pihak perlu hadir di Mahkamah dengan saksi-saksi mereka (jika ada). Perbicaraan adalah seperti perbicaraan di Mahkamah di mana pihak-pihak akan memanggil saksi-saksi mereka untuk memberi keterangan secara bersumpah diikuti dengan proses pemeriksaan saksi.
Bagi kes pembuangan kerja tidak adil, beban pembuktian selalunya terletak di atas Pihak Syarikat untuk membuktikan bahawa pembuangan kerja adalah dengan alasan or sebab yang munasabah. Hal ini bermaksud Pihak Syarikat akan memanggil saksi-saksi mereka untuk memberi keterangan dan saksi-saksi tersebut akan diperiksa oleh peguam pekerja/Pihak Yang Menuntut.
Selepas Pihak Syarikat memanggil saksi-saksinya, Pihak Yang Menuntut akan turut memanggil saksi-saksinya dan saksi-saksi tersebut akan melalui pemeriksaan oleh peguam Pihak Syarikat.
Bagi pembuangan kerja secara konstruktif atau kes penamatan secara terancang pula, pekerja/Pihak Yang Menuntut perlu memanggil saksi-saksinya terdahulu sebelum Pihak Syarikat memanggil saksi-saksi mereka. Hal ini kerana, beban pembukitan adalah terletak pada pekerja/Pihak Yang Menuntut untuk membuktikan bahawa mereka telah dibuang kerja oleh Pihak Syarikat.
Dalam kes Telekom Malayisa Kawasan Utara v Krishnan Kutty A/L Sanguni Nair and Anor [2002] 3 MLJ 129, Mahkamah telah mengesahkan bahawa beban pembuktian di Mahkamah Perusahaan adalah atas imbangan kebarangkalian walaupun terdapat elemen jenayah.
Selepas keterangan telah dikemukakan dan saksi-saksi telah diperiksa, Mahkamah akan mengarahkan pihak-pihak untuk memfailkan:
- Hujahan Bertulis; dan
- Ikatan Otoriti
yang merujuk kepada keterangan saksi-saksi, keterangan dokumen dan undang-undang untuk menyokong kes mereka.
Langkah 8: Award daripada Mahkamah Perusahaan
Setelah Hakim Mahkamah Perusahaan mendengar dan menimbangkan keterangan saksi-saksi dan hujahan pihak-pihak, Mahkamah akan membuat keputusan dan menurunkan Award.
Jika Mahkamah memutuskan bahawa pekerja telah dibuang kerja tanpa alasan atau sebab yang munasabah, Mahkamah boleh mengarahkan pekerja tersebut diambil bekerja semula oleh Pihak Syarikat atau mengarahkan Pihak Syarikat untuk membayar pekerja ganti rugi (pampasan dalam bentuk wang). Lihat sini untuk bentuk-bentuk Award yang boleh diberikan oleh Mahkamah.
Selain itu, Mahkamah boleh memutuskan bahawa representasi pekerja adalah tanpa merit maka tuntutan pekerja akan ditolak.
Setiap keputusan oleh Mahkamah adalah berdasarkan prinsip ekuiti, hati nurani serta merit tanpa mengambil kira perkara-perkara bersifat teknikal dan berbentuk undang-undang. Lihat Seksyen 30(5) APP 1967.
Langkah 9: Rayuan kepada Mahkamah Tinggi
Pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan Award Mahkamah Perusahaan boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi. Berdasarkan Seksyen 33C APP 1967, rayuan tersebut perlu dilakukan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penerimaan Award. Rayuan daripada Mahkamah Perusahaan ke Mahkamah Tinggi akan dianggap sebagai rayuan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Sebaliknya, jika majikan gagal mematuhi Award Mahkamah, pekerja boleh membuat aduan mengenai ketidakpatuhan Award kepada Mahkamah Perusahaan ataupun pekerja boleh menguatkuasakan Award tersebut di Mahkamah Sivil.
Secara ringkasnya, walaupun Mahkamah Perusahaan merupakan sebuah tribunal tetapi fungsinya sama seperti Mahkamah Sivil iaitu untuk menyelesaikan pertikaian antara pekerja dan majikan. Tambahan pula, prosedur di Mahkamah Perusahaan tidak rumit seperti yang diamalkan oleh Mahkamah Sivil jadi proses penyelesaian kes adalah lebih cepat dan pantas berbanding dengan Mahkamah Sivil.
Kami berharap artikel di atas adalah jelas dan membantu. Sila hubungi kami jika anda memerlukan nasihat dan bantuan guaman di Mahkamah Perusahaan.