Langkah-Langkah Memfailkan / Membela Tuntutan Di Mahkamah Buruh Di Malaysia

Pendahuluan

Di Malaysia, terdapat dua mahkamah berasingan yang menangani pertikaian pekerjaan iaitu Mahkamah Perusahaan dan “Mahkamah” Buruh.

Mahkamah Perusahaan menguruskan kes-kes berkenaan pemecatan tidak wajar (kes pekerja dibuang kerja secara salah), pertikaian di antara Kesatuan Sekerja dan Syarikat, dan pertikaian-pertikaian seumpama dengannya.

Manakala, Mahkamah Buruh menguruskan kes-kes dimana pertikaian-pertikaian yang berlaku semasa pekerja masih di dalam tempoh pekerjaan. Selalunya, kes adalah berkaitan dengan tunggakan bayaran gaji, kegagalan membayar elaun kerja lebih masa, dan pelanggaran hak pekerja yang termaktub di bawah Akta Kerja 1955 (“Akta Kerja”) dan sebagainya.

Mahkamah Buruh bukan Mahkamah Sebenar

Apabila terdapat pertikaian sebegitu berlaku, seseorang pengadu (Pengadu) boleh memfailkan aduan di Jabatan Tenaga Kerja yang terdekat di negeri masing-masing. Setiap aduan akan dikendalikan oleh seorang Pegawai Buruh yang dilantik oleh Ketua Pengarah Tenaga Kerja.

Siasatan akan dilakukan di dalam sebuah bilik di Jabatan Tenaga Kerja yang disusun seperti sebuah mahkamah sebenar. Di dalam bilik tersebut, Pegawai Buruh akan berada di tengah antara Pengadu dan orang yang diadukan (“pihak-pihak”) akan duduk di kiri dan kanan beliau. Sebuah kandang saksi juga akan diletakkan di dalam bilik tersebut.

Siasatan ini akan dijalankan menyerupai sebuah perbicaraan mahkamah di mana pihak-pihak boleh menyoal saksi dan membuat hujahan kepada “hakim” iaitu Pegawai Buruh. Walaubagaimanapun, proses siasatan ini adalah bersifat inkuisitor (siasatan dilakukan untuk mengetahui kebenaran) dan bukannya untuk berlawan atau bersaing (di mana pendakwaan dan pembelaan diperlukan untuk menentukan fakta kes).

Maka, inilah sebabnya mengapa Mahkamah Buruh digelar sebagai mahkamah. Dari segi undang-undang, ia bukanlah sebuah mahkamah sebenar. Namun, ia adalah sebuah tempat untuk menjalankan siasatan ke atas aduan yang dibuat oleh Pengadu.

Ini tidak seperti mahkamah sivil yang diwujudkan mengikut Perlembagaan Persekutuan atau Akta yang digubal oleh Parlimen, atau Mahkamah Perusahaan yang merupakan ciptaan khusus Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Hal ini juga telah disahkan melalui kes Austral Amalgamated Tin Bhd and Another Appeal v Abdul Wahab Bin Kopon & Ors and Another Appeal [2004] 2 MLJ 193, di mana Mahkamah Buruh adalah bukan mahkamah rendah.

Contoh kes-kes yang diuruskan di Mahkamah Buruh?

1. Pertikaian di antara pekerja dan majikan berkenaan tunggakan pembayaran gaji atau apa-apa bayaran lain yang dibuat secara tunai kepada pekerja tersebut;

Contohnya bayara elaun bersalin, elaun kerja lebih masa, tunggakan bayaran gaji, gaji minimum, gaji sebagai ganti notis penamatan dan lain-lain.

Lihat Seksyen 69(1) dan Seksyen 69(2)(iii) Akta Kerja.

2. Pertikaian berkenaan salah laku pekerja dan hukuman yang diberikan oleh majikan;

Lihat Seksyen 69(3) Akta Kerja.

3.Pertikaian di antara kontraktor terhadap pengarah, kontraktor, dan sub-kontraktor berkenaan apa-apa jumlah buruh yang didakwa tertunggak;

Lihat Seksyen 69(2) Akta Kerja.

4. Pertikaian berkenaan diskriminasi dalam pekerjaan;

Lihat Seksyen 69F Akta Kerja.

5. Aduan berkenaan gangguan seksual;

Lihat Seksyen 81D Akta Kerja.

6. Aduan berkenaan persaraan pramatang;

Lihat Akta Umur Persaraan Minimum 2012.

7. Kesalahan di bawah Akta Kerja;

Bila mana Ketua Pengarah mempunyai sebab munasabah untuk mengesyaki sebuah kesalahan di bawah Akta Kerja telah dilakukan, atau ingin menyiasat apa-apa perkara di bawah Akta Kerja, atau terdapat aduan yang dilakukan kepada Ketua Pengarah berkenaan pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah Akta Kerja, Ketua Pengarah bolehlah memanggil mana-mana pihak yang dipercayai dengan sebab munasabah boleh memberikan maklumat berkenaan kesalahan atau perkara yang dinyatakan di dalam aduan tersebut.

Jika siasatan Ketua Pengarah mendapati bahawa sebuah kesalahan telah dilakukan, beliau boleh menghukum seperti memberi denda.

Lihat Seksyen 79 Akta Kerja.

Apakah Proses Pemfailan / Pembelaan Tuntutan Di Mahkamah Buruh?

Langkah 1: Aduan dibuat kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja

Pengadu yang menghadapi masalah yang dinyatakan di atas bolehlah membuat aduan ke Ketua Pengarah Tenaga Kerja (selepas ini akan dirujuk sebagai “Ketua Pengarah” dan rujukan ini termasuk Pegawai Buruh) di Pejabat Tenaga Kerja terdekat.

Pengadu hendaklah mengemukakan aduannya serta menyenaraikan sebarang remedi yang hendak diminta dalam bentuk pernyataan bertulis kepada Ketua Pengarah.

Pengadu hendaklah menyediakan dokumen-dokumen berikut:-

  • Nama dan alamat surat-menyurat Pengadu (mengikut kad pengenalan Pengadu)
  • Nama dan alamat syarikat (sumber dari carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM))
  • Butiran berkenaan pendapatan bulanan serta slip gaji (jika ada)
  • Surat pelantikan kerja dan syarat-syarat perkhidmatan (jika ada)
  • Surat pemberhentian kerja (jika ada)
  • Butiran kes

Langkah 2: Inkuiri aduan dimulakan dan penetapan tarikh inkuiri

Berdasarkan Akta Kerja, Ketua Pengarah hendaklah secepat mungkin melakukan pemeriksaan ke atas Pengadu dengan sumpah atau ikrar dan merekodkan kenyataan Pengadu dalam buku kes.

Ketua Pengarah boleh memulakan inkuiri yang sewajarnya jika didapati ia diperlukan untuk mendapatkan keterangan berkenaan perkara-perkara yang diperlukan untuk inkuiri dan boleh memanggil orang-orang yang diadukan seperti yang dinamakan di dalam borang yang ditetapkan.

Langkah 3: Mengeluarkan saman kehadiran kepada orang-orang yang diadukan untuk menghadiri siasatan

Ketua Pengarah boleh mengeluarkan saman kehadiran kepada orang-orang yang diadukan untuk menghadiri siasatan.

Semasa saman tersebut dikeluarkan kepada orang-orang yang diadukan, Ketua Pengarah hendaklah:

  1. Mengeluarkan notis berkenaan jenis aduan yang dibuat terhadapnya serta nama Pengadu;
  2. Memaklumkan tarikh, masa, hari, dan tempat siasatan dijalankan;
  3. Memaklumkan bahawa mereka mempunyai hak untuk membawa bersama mana-mana saksi yang ingin dipanggil bagi pihak mereka; dan
  4. Memaklumkan bahawa orang-orang yang diadukan mempunyai hak untuk memohon kepada Ketua Pengarah bagi memanggil orang-orang yang dinamakan sebagai saksi bagi pihak mereka.

Selain itu, atas permintaan Pengadu dan tertakluk kepada apa-apa syarat yang didapati sesuai oleh Ketua Pengarah, beliau boleh memanggil orang-orang yang dinamakan sebagai saksi bagi pihak yang diadukan untuk hadir sebagai saksi pihak Pengadu juga.

Tambahan pula, Ketua Pengarah boleh memanggil mana-mana atau semua pihak jika pada bila-bila masa sebelum atau semasa siasatan dijalankan, Ketua Pengarah dengan sebab munasabah mempercayai bahawa terdapat pihak-pihak terjejas dari segi kepentingan kewangannya oleh apa-apa keputusan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah atau beliau ada sebab munasabah untuk mempercayai sedemikian.

Walaubagaimanapun, secara kebiasaannya, Ketua Pengarah akan mencuba untuk membantu pihak-pihak untuk menyelesaikan pertikaian mereka melalui rundingan dahulu, sebelum beliau boleh meneruskan dengan Langkah 4, iaitu menjalankan inkuiri (juga dikenali sebagai perbicaraan) tersebut.

Ketua Pengarah akan mengadakan sesi rundingan dengan kehadiran kedua-dua pihak dan cuba membantu pihak-pihak mencapai satu penyelesaian. Secara biasanya, hanya apabila satu penyelesaian adalah mustahil, barulah Ketua Pengarah akan teruskan dengan inkuiri/perbicaraan.

Langkah 4: Hari inkuiri

Pada hari inkuiri, kedua-dua pihak ini akan diperiksa secara sumpah dan masing-masing mempunyai hak untuk membawa saksi-saksi mereka. Pada hari siasatan, kedua-dua pihak akan menghadiri sesi siasatan bersama saksi mereka serta sesiapa yang telah dipanggil untuk hadir.

Proses inkuir adalah mirip dengan prosiding Mahkamah, dan kebiasaannya akan dimulakan oleh Pengadu untuk memulakan kesnya (dengan sumpah atau ikrar). Ini diikuti dengan soal siasat oleh orang yang diadukan atau melalui wakilnya, serta Ketua Pengarah jika diperlukan.

Saksi-saksi juga perlu mengemukakan bukti semasa memberikan keterangan mereka. Kedua-dua pihak boleh diwakili oleh peguam semasa siasatan dijalankan.

Jika mana-mana pihak yang dipanggil telahpun gagal untuk hadir pada hari siasatan, aduan boleh didengari dan diputuskan oleh Ketua Pengarah tanpa kehadiran orang tersebut walaupun dia mungkin terjejas secara prejudis oleh keputusan tersebut.

Langkah 5: Keputusan Ketua Pengarah selepas siasatan selesai

Selepas siasatan selesai, Ketua Pengarah akan membuat keputusan.

Jika dapati aduan tersebut adalah sah, Ketua Pengarah boleh memerintahkan tindakan terhadap majikan seperti pembetulan, hukuman, atau penentuan kompaun yang sesuai, serta memerintahkan pembayaran wang yang difikirkannya adil oleh majikan kepada pekerja, yang tidak ada hadnya dari segi jumlah yang dia boleh mengenakan dan mungkin membawa faedah sebanyak 8%.

Ketua Pengarah juga diberi bidangkuasa untuk memulakan prosiding jenayah jika didapati perlu.

Lihat Seksyen 69 dan Seksyen 79 Akta Kerja.

Keputusan Ketua Pengarah dibuat dalam bentuk Perintah berdasarkan Seksyen 70 Akta Kerja dan hendaklah dimaklumkan kepada pihak-pihak. Ini adalah untuk membolehkan Mahkamah menguatkuasakan Perintah Ketua Pengarah seperti yang akan dijelaskan di bawah.

Langkah 6: Rayuan ke Mahkamah Tinggi

Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan Perintah Mahkamah Buruh boleh membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari dari tarikh Perintah dikeluarkan.

Lihat Seksyen 77 Akta Kerja.

Langkah 7: Penguatkuasaan keputusan

Namun begitu, Pengadu boleh menguatkuasakan Perintah jika orang yang diadukan telah gagal untuk mematuhi Perintah tersebut.

Pengadu boleh memohon Ketua Pengarah menghantar salinan Perintah yang diperakui kepada Pendaftar Mahkamah Sesyen, atau kepada Mahkamah Majistret Kelas Pertama, dan Registrar atau Mahkamah hendaklah merekodkan salinan tersebut untuk tujuan penguatkuasaan sebagai penghakiman Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret Kelas Pertama, mengikut mana-mana yang berkenaan.

Kemudian, Perintah tersebut akan menjadi Perintah Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret. Di sini, Pengadu boleh menguatkuasakan Perintah ini secara wajar melalui pelbagai prosiding sivil termasuk prosiding kebankrapan, penggulungan, saman penghutang penghakiman dan lain-lain.

Kesimpulan

Ringkasan di atas adalah berkenaan ciri-ciri dan perbezaan Mahkamah Buruh dengan mahkamah-mahkamah lain, jenis-jenis kes yang dibicarakan di Mahkamah Buruh, dan pelbagai peringkat siasatan di Mahkamah Buruh.

Pindaan kepada Akta Kerja melalui Akta Kerja (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa pada 01.01.2023 telah meluaskan definisi pekerja. Kini, definisi pekerja juga meliputi pekerja di bawah kontrak perkhidmatan, dan tidak hanya terpakai kepada pekerja di bawah Akta Kerja (secara umumnya, hanya merangkum pekerja-pekerja di bawah gaji RM2000).

Secara ringkasnya, Akta Kerja kini melindungi semua pekerja (termasuk jika gaji mereka melebihi RM4000).

Pindaan ini juga telah menghapuskan Seksyen 69A dan Seksyen 69B Akta Kerja (yang mengehadkan jenis-jenis kes yang boleh disiasat oleh Ketua Pengarah). Ia juga telah mewujudkan seksyen baru seperti Seksyen 69F (berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan). Maka, jenis-jenis kes sedemikian kini boleh didengar dan diselesaikan di Mahkamah Buruh.

Oleh itu, Mahkamah Buruh kini mempunyai banyak potensi untuk memainkan peranan penting dalam menyelesaikan pertikaian pekerjaan pada masa hadapan.

PS: Jika anda berpendapat bahawa anda mungkin mempunyai tuntutan di Mahkamah Buruh atau sedang mempunyai kes/tuntutan di Mahkamah Buruh dan memerlukan wakil peguam, bantuan atau bimbingan guaman, sila hubungi saya di sini. Jika anda mempunyai sebarang masalah berkenaan undang-undang buruh dan undang-undang perhubungan perusahaan, sila hubungi saya juga di sini.

LouisLiaw: